Wellcome 2 GlasSlipper... So kind of you 2 stop by..

Letting go of someone dear to you is hard, but holding on someone who doesn't even feel the same is harder. Giving up doesn't mean you are weak… It only means that you are trying to be strong enough person to let it go...

Tuesday, March 25, 2008

Sebentuk Utusan Hati......

Terkadang apa yang kita ingin dan harap tidak dapat kita miliki. Sekeping hati dan perasaan tidak boleh dipaksa. Penerimaan atau penolakan bukan terjadi dengan satu kesengajaan. Segalanya adalah gerak naluri yang ada di dalam diri. Tok Jah membisu. Mata tuanya masih tega meratah seraut wajah murung milik cucu perempuan tunggal kesayangan keluarga. Dia sedar lewat kebelakangan ini keceriaan di wajah itu bagaikan pudar.

“Irash, kenapa tok lihat sejak akhir-akhir ini Irash muram saja. Irash ada masalah ke?” Tok Jah menghampiri Irash Asyrika yang sedari tadi bagai leka memandang langit yang terbentang luas. Entah apalah agaknya yang bercanda di halaman fikiran cucunya itu.

“Tak ada apa-apa tok. Irash cuma penat. Banyak kerja di pejabat yang perlu disiapkan,” dalih sengaja dicipta. Irash Asyrika tidak mahu Tok Jah yang sesekali datang menziarah itu turut sama susah hati dengan keadaannya.

“Irash, ni ada orang suruh tok sampaikan pada Irash.” Ucap Tok Jah sambil menghulurkan sebuah kotak kecil. Teragag-agak tangan Irash Asyrika untuk menyambutnya. Hati kecilnya dipalu debaran.

“Sapa yang bagi tok?” sedikit bergetar kedengaran suara gadis itu. Mata kuyunya bulat merenung khazanah yang termuat di dalam kotak kecil yang sudah berada di tangannya. Tok Jah tidak segera memberikan jawapan, sebaliknya sekeping nota dihulurkan kini.

“Apa erti semua ini tok? Apa maksud yang cuba disampaikan menerusi utusan tidak rasmi ini? Bila dia beri pada tok?” bertubi-tubi serangan soalan dilancarkan bersama keluhan yang mengiringi.

“Tok sendiri tak pasti apa maksud dia, cuma dia minta tok tolong sampaikan pada Irash masa dia singgah di kampung hari tu.,” Tok Jah memberikan penerangan. Dia tahu apa yang mula mengacah di jiwa cucunya itu. Mata tuanya tidak rabun untuk melihat dan menafsir akan kocakan emosi yang sedang berlaku.

“Kenapa dia tak mahu faham tok? Sudah sekian kali Irash nyatakan. Bahasa apa lagi yang harus Irasy gunakan agar dia benar-benar dapat memahaminya?” keluh gadis itu kesal. Kotak kecil yang menyimpan khazanah yang mungkin bermaksud itu diunjukkan kembali kepada Tok Jah.

“Tok dah ingakan dia, jangan mengharap sangat untuk memperolehi pulangan kejayaan dengan apa yang dia berikan ini, tapi dia tetap degil, sama degilnya macam Irash. Tak mahu mengalah. Katanya pada tok, dia tidaka bermaksud mengikat Irash dengan khazanah ini, sekadar menyimpul ucapan terima kasih atas kesudian Irash menerima dia sebagai kawan dan hadian sempena harilahir Irash yang dah terlepas tu.” Tok Jah mengungkap penjelasan lengkap.

Irash Asyrika membungkam. Minda yang lelah bagai mati untuk memikirkan apa relevant malah di mana rasionalnya pesanan yang diterima lewat Tok Jah itu.

“Tok, apa yang perlu Irash buat dengan khazanah ini?” gadis itu bertanya. Ada getar sendu yang cuba ditahannya.

Tok Jah terdiam. Tidak tahu apa yang harus dikatakan pada cucunya yang seorang ini. Memang dia sedari, Irash Asyrika seorang yang lembut tapi menjadi agak degil dan tegas dalam keadaan tertentu. Payah untuk melentur kedegilan dan ketegasannya yang telah diwarisi sejak kecil.

“Tok pun tak tahu nak kata apa, tapi cuba Irash tanya hati Irash sendiri. Jangan buat keputusan ikut pertimbangan perasaan, sebaliknya fikir bertunjangkan kewarasan akal,” nasihat Tok Jah lembut. Bahu gadis itu diusapnya penuh kasih. Hati tuanya bagai mengerti apa yang sedang ditanggung oleh sekujur tubuh itu. Namun apa dayanya untuk menolong, sedangkan empunya diri seakan tega memenjarakan segalanya di penjara yang ternyata tidak berpintu.

Irash Asyrika membiarkan Tok Jah terus mengusap bahunya. Sudah lama diri terasa ingin dibelai dalam kasih dan sayang. Ingin bermanja seperti dahulu, tapi dia sedar semua itu tidak mungkin mampu digapai dalam reality yang berpusar pada ilusi. Mana mungkin dia bisa mengembalikan mama, papa dan tok wan yang sudah tiada. Mana mungkin dia menghalang arus perjalanan insan-insan yang pernah hadir dalam hidupnya untuk mengejar cita-cita dan melunaskan tanggungjawab yang sudah teramanah. Relakah dia menjadi seorang yang selfish hanya kerana tuntutan naluri yang sudah acapkali memberontak dalam bantahan yang masih mampu dikawal. Tidak… dia tidak tega membelenggu insan-insan tersayang dengan apa yang diingininya. Justeru itulah dia tega dan rela membiarkan hatinya diserang bantahan oleh pemberontak emosi. Dia sekadar berharap apa yang dirasa tidak terzahir dipenglihatan agar tidak menyusahkan tiap mata yang memandang. Kini dia bagai kembali seperti dulu, membiarkan sejalur senyuman memainkan peranan dan sebagai penjawab pada persoalan dan pertanyaan.

“Irash, apa yang Irash menungkan tu. Tok lihat jauh sangat. Dah sampai ke mana?” tegur Tok Jah lembut.

“Tak sempat nak sampai ke ISS tok,” sejalur senyuman sudah membias di wajah gadis itu yang akhirnya membuahkan tawa keduanya.

“Dah lama tok tak dengar Irash cerita pasal Adib Shaziman. Apa khabar dia sekarang?” tanya Tok Jah. Tawa yang masih bersisa tiba-tiba mati. Gadis itu pantas menundukkan wajah. Hati Tok Jah diapung teka-teki. Pasti ada yang tidak beres di antara mereka.

“Irash…,” panggil Tok Jah lembut. Tangan tuanya mengangkat wajah yang tunduk agar selaras dengan pandangannya. Terlihat olehnya manis jernih yang sudah terbit di tubir mata. Ah! Kenapa dengan cucunya ini….

“Irash, tok tahu Irash banyak berahsia sekarang ni. Cuba perkara yang satu ini Irash cerita pada tok. Masalah tidak akan selesai kalau Irash berdiam dan membiarkan segalanya. Tok tahu, mesti ada yang tak kena dalam perhubungan kamu kan.”

“Irash dah lama tak jumpa dia tok. Kami pernah berselisih faham hingga terjadi pertengkaran kecil. Selepas itu kami lebih banyak berdiam. Tidak menghubungi di antara satu sama lain walaupun hakikatnya ikatan ini masih wujud di antara kami,” luah Irash Asyrika. Manik jernih sudah mula menguntai di pipinya.

“Apa yang terjadi? Adib Shaziman tahu pasal Ikhwan Hakim?” tanya Tok Jah inginkan kepastian.

Sekadar anggukan yang terzahir sedangkan bibir Irash Asyrika betah mengunci kata. Kini manik jernih makin galak menguntai di pipinya. Perlahan-lahan Tok Jah meraih tubuh cucunya. Dipeluk penuh kasih. Turut berkongsi kesedihan yang sedang dinikmati. Dia tahu, Irash Asyrika seorang yang manja walaupun gadis itu cukup tidak gemar mengakui hakikat itu. Seluruh kemajaan dan kasih sayang keluarga tertumpu padanya justeru status yang dipegang sejak kewujudannya di bumi ini. Namun kini gadis itu bagai kemudi yang hilang arah. Kehilangan orang-orang yang rapat dan amat disayanginya bagai meragut semangat dan ketabahan gadis itu untuk melangkah walaupun pada zahir penglihatan dia berlagak konon dia masih kuat untuk terus menongkah arus dalam hidupnya. Tok Jah cukup sedar keadaan itu, mana mungkin perasaannya memanipulasikan apa yang dilihat oleh mata tuanya. Cucunya itu tidak lagi seceria dan seriang dulu, gelak tawa dan biasan senyuman hanyalah satu lakonan dalam kepura-puraan.

“Irash tak nak cerita dengan tok ke?” pertanyaan Tok Jah mengejutkan Irash Asyrika.

“Irash tak tahu tok. Irash dah tak berani lagi nak beri sebarang komen tentang Adib. Bimbang andai apa yang Irash kata atau buat menjadi satu kesalahan dalam salah sangka. Kalau terdaya dan termampu, Irash tak mahu semua itu terjadi. Cukuplah sekali Irash melakukan kesalahan maha besar yang membuatkan Adib marah sangat pada Irash. Irash tak mahu lukakan atau sakitkan hati dia,” tutur Irash Asyrika perlahan. Manik jernih yang berserak di pipi disekanya pantas. Tidak mahu menzahirkan kelemahan dengan untai manik-manik jernih itu.

“Ikhwan tahu Irash ada masalah dengan Adib?” Tok Jah inginkan kepastian. Dari gerak anak muda yang seorang itu, dia mampu menelah apa sebenarnya yang tersirat dalam perlakuannya.

Terdengar Irash merengus. “Tahu, tapi dia buat tak reti dan masih lagi dengan permintaan yang dah banyak kali Irash reject. Macam orang tak faham bahasa dah jadinya budak tu tok,” adu Irash Asyrika. Tiba-tiba hatinya bagai dipanggang geram.

Tok Jah tersenyum. Jarang melihat cucu kesayangannya itu melempiaskan rasa amarah. Pasti ada yang telah dilakukan oleh Ikhwan Hakim hingga berjaya mengaktifkan suiz ketidakpuasan hati gadis itu.

“Kenapa tok tersenyum?” tanya Irash Asyrika tiba-tiba membuatkan tawa Tok Jah termuntah. Irash Arisya diterpa kebingungan. Rasanya bukanlah dialog lawak yang dituturkannya sebentar tadi hingga berjaya mengusik urat tawa di tubuh toknya itu.

“Orang dah suka Irash… memanglah macam tu. Segala bahasa di dunia ni pun kadangkala tak dapat memberi kefahaman walaupun Irash gunakan bahasa budak-budak tadika. Erm! Apa yang dia minta dari Irash?” soal Tok Jah lembut. Wajah kelat sudah menghiasi pandangannya. Aduh! Cucu aku yang sorang ni, mudah betul merajuk, ngomel hati tuanya sendiri.

“Apa lagi, kalau bukan tempat yang tak boleh dibuat penempatan. Dia fikir hati Irash ni taraf tanah setinggarden ke? Suka-suka hati nak pacak rumah,” bentak gadis itu. Wajahnya masih kelat mencuka.

Tok Jah tertawa. Masih belum kenal erti putusasa rupanya anak muda yang seorang itu. Masih tetap mahu mencuba melembut sambil melekukkan hati degil milik cucunya itu. Ikhwan…. Ikhwan… gumam hati Tok Jah.

“Tok, apa yang boleh Irash buat supaya Ikhwan tak kacau Irash lagi? Irash dah letih dan lelah… rasa tak cukup nafas nak layan kerenahnya. Tok sendiri lihatlah apa yang dia dah lakukan sekarang. Dah melampau betul. Ada ke bagi benda alah ni pada Irash, mengada-ngada,” bebel Irash Arisya geram. Perutusan yang masih betah berada di tangan direnungnya. Kilauan dari biasan cahaya itu seakan menyinari mukanya dan entah bagaimana wajah si pemberi terbias di situ. Ah! Biar betul, tak kan boleh nampak muka dia atau mata aku ni yang dah tak berapa betul…. desis hati Irash Asyrika sendiri..

“Kenapa Irash tak boleh terima? Lagi pun tok lihat budak Ikhwan tu baik dan berakhlak orangnya. Beradap bila cakap dengan orang tua. Ada rupa, keluarganya pun kita kenal. Tok tak nampak cacat celanya dia hingga menjadi wabak kalau Irash terima dia.” Tok Jah menyoal penuh diplomasi. Ingin menyelongkar rahsia harta karun yang tersembunyi di dasar lautan hati cucunya.

Irash Asyrika membuntangkan mata kuyunya menjadikan wajahnya kelihatan begitu lucu. Tok Jah terpaksa menahan tawa dari terhambur namun sejalur senyuman sudah meniti di bibir.

“Ala tok. Orang berakhlak tak akan buat macam yang dia buat… orang beradab tak main ikut sedap hati dia nak sampaikan maksud. Agama tak mengajar kita supaya meninggalkan adat dan adat juga tidak seharusnya dilebihkan daripada syariat. Kenal keluarga, tak semesti kenal anaknya,” Irash Asyrika pantas berhujah membuatkan tawa yang Tok Jah tahan akhirnya termuntah. Masam muka gadis itu bila apa yang diperkatakan ditertawakan. Ke manalah tumpahnya kuah kalau tidak ke atas roti canai... kalau dah keturunan Kambing Hitam, walau tidak dipraktikan, kepetahan berhujah tetap ada biarpun sedikit cuma.

“Bijak cucu tok ni. Agaknya sebab itulah Ikhwan berkenan nak buat kawan… kawan gaduh dan bertarung kata. Irash… Irash…. Kalau dah keturunan Kambing Hitam, tak banyak sedikit, mesti terwaris juga. Erm bagaimana pulak Irash dengan Adib? Dah lama tok tak dengan Irash cerita pada tok pasal dia. Irash gaduh lagi yer?” serkap Tok Jah. Dari tingkah cucunya lewat kebelakangan ini, dia pasti ada yang tidak beres pada hubungan keduanya. Adib Shaziman dan Irash Asyrika…

Irash Asyrika sekadar mengeluh. Padangannya dilemparkan pada kepekatan malam. Sebenarnya tiada yang menarik yang mampu digapai pada pandangan mata, tapi dia lebih tidak betah bila terus disapa oleh renungan Tok Jah. Dia sedar bukan mudah untuknya melindungi segala gelora yang sudah lama memukul pantai hatinya. Menanti waktu untuk Tsunami melanda dalam ombak gumpulan bunga-bunga kapas yang cantik memutih.

“Agaknya inilah kebaikan dan khasit yang Doktor Zairul Arrief selalu kata.” Tok Jah bersuara memancing perhatian cucunya.

Pantas pandangan yang tadinya terhala entah ke mana kini mengarah ke wajah Tok Jah. “Apa yang Doktor Zairul Arrief kata tok?” tanya Irash Asyrika kehairanan. Apa pulak hubung kait Tok Jah dengan doktor itu.

“Banyakan makan ‘karet’. Bukan sahaja mata jadi cantik, tapi penglihatan pun tajam Dalam gelap pun boleh lihat walau orang lain tak nampak apa,” usik Tok Jah melucu. Bibir tuanya mengorak senyuman bila melihat wajah cucunya sudah berubah lantas tawa keduanya bergabung.

“Apa yang harus Irash buat dengan utusan tidak rasmi ni tok?” Gadis itu mengungkap pertanyaan. Masih tidak surut gelisah dan resah di jiwa sejak terpandang akan kilauan yang menyilau pandangan tika matanya menyapa utusan itu tadi.

Tok Jah mengeluh. Terasa sukar untuk menjawap seungkap pertanyaan yang kini dihadiahkan padanya. Dia sedar cucunya itu dalam persimpangan. Payah untuk membuat keputusan apatah lagi bila keputusan itu bukan lahir dari ketulusan sekeping hati.

“Irash dah buat solat istiharah? Munajat dalam mujahadah pada-Nya. Minta diberikan petunjuk dalam permasalahan ini,” cadang Tok Jah akhirnya. Iye itulah sebaik-baik cara dalam mencari dan mendapatkan penyelesaian.

“Irash dah lakukan tok, sejak sedar perilaku Ikhwan dan permintaan yang dibuatnya secara tidak rasmi. Sebelum utusan ini tiba lagi. Malangnya Irash tak temui sebarang petunjuk malah gerak hati ini juga tak menjurus ke arahnya. Irash tak boleh terima tok dan tak mungkin Irash mampu untuk membuat paksaan supaya hati ini mengikut dan menurut apa yang sedang berlaku. Irash tak daya untuk berlakun dalam kepura-puraan,” luah Irash Asyrika akhirnya. Manik jernih kini hadir lagi mengacah di tubir mata.

“Sabarlah Irash. Tok tak pernah suruh Irash paksa diri andai Irash tak berkemampuan. Apa yang tok inginkan adalah melihat Irash bahagia dan gembira. Jangan korbankan diri untuk melihat dan membahagiakan orang lain.

Tok Jah memeluk tubuh cucunya. Manik jernih yang sudah menguntai di pipi disekanya penuh kasih. Dia sedar, seberat mana pandangan mata tuanya terhadap kemelut yang dihadapi oleh gadis itu, pasti ianya lebih berat tergalas di pundak perasaan yang sukar dizahirkan. Irash Asyrika lebih tega membisu dan berahsia. Sikap dan sifat yang pernah dan memang dimiliki sejak dahulu kini kembali menyelimuti diri gadis itu.

“Hubungan Irash dengan Adib bagaimana? Kamu berdua masih lagi dalam kancah peperangan tidak rasmi?” tanya Tok Jah inginkan kepastian.

“Kami dah tandatangan persetujuan perdamaian tok, tapi gencatan perdamaian itu terkadang dilihat bagai tiada erti. Kesan dari apa yang pernah Irash lakukan masih terasa biarpun bagi Adib ianya sekadar mainan perasaan dan fikiran Irash semata. Dia rasa Irash terlalu fikirkan yang bukan-bukan. Entahlah tok. Susahkan kalau kita dah lukakan hati orang. Perlakuan kita dah menyinggung perasaan yang selama ini cukup Irash jaga. Namun apa daya Irash tok, kalau khilaf itu tetap terjadi walaupun tidak teriring dengan niat sepertimana yang difikirkan oleh orang. Jadi Irash terima natijahnya. Irash tak mahu paksa Adib untuk terima Irash kembali seperti dulu, malah Adib pun pernah beritahu yang Irash akan dapat kembali Adib yang dulu, cuma masa yang akan menentukannya,” luah Irash Asyrika. Hatinya benar-benar sayu mengenangkan sikap anak muda itu kini. Dirinya tidak ubah seperti melukut ditepian kasih. Dia sedar kehadirannya tidak membawa apa-apa erti malah mungkin lebih baik tiada daripada ada. Cuma mungkin Adib Shaziman tidak sampai hati untuk mengungkapkan salam perpisahan buat dirinya.

“Sudahlah Irash. Perbanyakkan doa pada Allah. Kalau benar Adib ikhlas sayangkan Irash, dia tahu apa yang perlu dilakukannya. Bukan sehari dua usia perkenalan kamu berdua, dan tok yakin kasih sayang Adib masih ada untuk kamu. Apa yang penting Irash perbanyakkan sabar dan terus berdoa agar perhubungan kalian pulih. Tentang utusan itu, kalau Irash benar-benar tak boleh terima, tok akan beritahu Ikhwan. Janganlah Irash risau, yakinlah allah akan permudahkan segalanya kalau kita sabar dan redho dalam menghadapi dugaan dan ujian-Nya. Hari dah lewat. Pergilah Irash tido tapi sebelum tu jangan lupa makan ubat. Kesihatan Irash pun tok lihat tak menentu sejak kebelakangan ini. Tok tak mahu Irash abaikan diri Irash kerana permasalahan sebegini. Ingat, kami semua sayangkan Irash walau apa pun yang terjadi. Dah jangan mengelamun sangat. Hari dah lewat. Irash pergilah berehat,” tutur Tok Jah lembut. Sebuah kucupan singgah di kedua belah pipi gadis itu. Irash Asyrika tersenyum bersama manik jernih yang masih bersisa di pipi sedangkan bahtera hatinya sudah lama karam di lautan airmata sejak utusan tidak rasmi yang dititipkan oleh Ikhwan Hakim berada di tangannya…..

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home