Wellcome 2 GlasSlipper... So kind of you 2 stop by..

Letting go of someone dear to you is hard, but holding on someone who doesn't even feel the same is harder. Giving up doesn't mean you are weak… It only means that you are trying to be strong enough person to let it go...

Monday, November 26, 2007

Cerita Dari Desa........

Aku tahu tok mak terkejut menerima kehadiran ku di hening pagi. Mana tak nya, pukul 04.30 pagi sudah kedengaran suaraku memberikan salam. Aku bertolak dari rumah jam 11.00 malam 231107….. Itupun setelah berlansungnya debat perdana antara aku dengan siapa lagi kalau bukan along. Aku tahu along risau untuk melepaskan aku, tapi as usual terpaksa juga mengalah bila melihat ketegasan dan kedegilan ku. Well! Sorry along… bukan maksud jauh sekali niatku untuk ague denganmu tapi entahlah…. Naluri ku terlalu mendesak untuk aku pulang ke kampung. Aku terlalu rindu kan mama dan papa…. Mungkin bila aku kembali seketika ke rumah kita di sana, aura mereka yang masih ada dapat mengubati hati dan perasaan yang sudah lama terkurung dalam sebuah penjara rindu yang tak punya pintu untuk ku boloskan diri. Aku harap along mengerti dan rasanya dia memang mengerti justeru itulah akhirnya setelah berjela pesanan yang disumbatkan ke pendengaranku, aku dilepaskan pergi. Sepanjang perjalanan pulang ke kampung, aku ditemani oleh berbagai rasa. Lebih-lebih lagi hari Jumaat lalu entah kenapa tiba-tiba perasaanku bagai dikuasai oleh sesuatu yang sukar untuk ku ungkapkan. Terlalu banyak rencah dan perisa dalam perasaan yang satu milik sekujur tubuh….. Awal pagi aku tiba-tiba kepingin untuk menikmati ROTI CANAI…. Kemudian mindaku membawa aku melintasi gerbang kenangan SEKOTAK SANGOBION… tak lama selepas itu, aku diacah keterasaan yang tidak sepatutnya berlaku bilamana aku seakan tidak mahu memahami akan situasi dan keadaan orang lain… petangnya pula perasaan ini menjadi lebih parah hingga aku rasa seolah semua itu bagaikan petanda sebelum aku kembali padaNYA. Malah aku juga menjadi sesensitif umat…… perbualan yang seharusnya berlangsung dalam suasana ceria dan ria bertukar corak bila jala usikan dan gurauan ditebar membuatkan hati dan perasaan terguris tanpa sebab yang relevant. Ah! Bukan aku tidak kenal sikapnya yang suka mengusik… tapi entahlah… kenapa Jumaat lalu aku bagaikan tidak mampu menerima semua itu. Apakah kerana sudah sekian lama aku ditinggalkan makanya perasaanku jadi sekalut itu…Apakah kebimbangan dan ketakutan masih lagi membayangi diri dan mindaku… Entahlah……

241107…Alangkah gembiranya bila berada di desa. Walaupun keletihan masih bersisa dan terasa, namun aku tetap gembira. Pagi tadi aku bersarapan dengan pulut tanak bercicahkan ikan masin dan kelapa parut. Tumis bilis juga ada tersedia. Seronok melihat wajah Tok Mak walau masih terbias rasa terkejut dan tidak percaya dengan tindakan cucunya yang sorang ini. Puas juga aku mendengar leteran sayangnya menasihati aku agar tidak mengulangi apa yang aku lakukan di masa depan. Aku tahu Tok Mak bimbang akan keselamatan aku dijalanan. Masih tidak percaya cucunya yang sorang ini sudah cukup dewasa untuk satu perjalanan yang bukanlah sejauh mana.

“Ala Tok Mak, kampung ni bukannya jauh sangat. Tidak perlu merentasi benua jauh sekali Kutub Utara ataupun Selatan. Adik cuma perlu ikut highway menghala ke Utara sahaja. Tapi kan tok, adik teringin nak pi angkasa. Kalaulah ISS tu kita boleh pi bila-bila masa, tak kira siapa dan kosnya tak mencecah puluhan juta dollar, rasanya nak gak adik pi duduk sana dalam seminggu dua. Mesti best kan tok” Bulat mata Tok Mak memanah wajahku yang sudah tersengeh-sengeh. Tok Wan juga ikut sama tertawa mendengar kata-kata aku itu.

“La! Buat apa seminggu dua. Awat hang tak pi sebulan atau setahun dua… ataupun pi duduk teruih kat sana. Ha! Iyalah tu… ingat hang tu lelaki?. Ingat sikit che oooiiiii hang tu pompuan. Banyak lagi benda yang sesuai untuk orang pompuan buat. Tak pun persiap diri untuk jadi isteri mithali macam arwah Mama atau Kak long. Sentiasa beri sokongan dan dorongan pada suami. Didik zuriat supaya jadi anak-anak yang soleh dan solehah. Itu lebih baik dari buat reja yang belum tentu ada berkatnya.” Bebel Tok Mak. Tawa yang ku simpan meletus. Entah di mana lucu pada ungkapan Tok Mak aku sendiri tidak pasti, mungkin juga sebenarnya aku cuba menyimpan dan menyembunyikan seribu rasa yang sudah mula menghulurkan salam untuk singgah dan bermukim di hati.

“Adik nak buat apa hari ni?” Tanya Tok Wan. Air yang masih berbaki di dalam cawan, di teguknya.

“Tak tau lagi… tapi kan tok, adik ingat nak ajak abang Iqbal dan Isqal pi tangguk ikan kat tali ayeq…. Atau pi cari buah pelam. Erm dah musim ka tok?”

“Dah! Tak payah. Jangan nak mengada pi tempat-tempat lagu tu. Elok sangatlah. Sat ni tak pasai dah elok dok di tanah, tengok-tengok jadi kera kat atas pokok. Bukan buleh percaya sangat pada hangpa semua. Kalau Iqbal tu, buleh gak di pesan, tapi Isqal…memang Tok Mak tak yakin sangat. Sat ni dia ikut ja apa kata hang.” Aku dan Tok Wan sudah bergabung meledakkan tawa. Bimbang sangat Tok Mak kalau-kalau aku kembali menunjukkan skill memanjat pokok yang dah lama aku tinggalkan.

“Adik nak makan pelam ka? Nanti Tok Wan pi cari. Hang dok aje di rumah. Lagi pun Tok Mak ada nak cakap sikit dengan hang.” Seperti lazimnya Tok Wan akan bertindak sebagai Jaksa Pendamai bila Tok Mak sudah mula membuka medan bicara. Ah! Biarpun Puteri Arrisya Dayana sudah 11 tahun wujud di dunia ini, tapi ianya bagai tidak langsung menggugat tahta yang aku pegang sejak dulu. Menjadi waris dan satu-satunya puteri tunggal dalam keluarga papa. Entah bila tahta itu boleh ku serahkan pada orang lain agar aku boleh menjalani kehidupan sepertimana yang dirasai oleh orang lain.

Sejak kecil aku membesar bersama sepupu-sepupu yang kesemuanya LELAKI. Aku bermain dan melakukan apa sahaja aktiviti yang mereka lakukan dan itu juga yang membuatkan mereka semua kerap menerima leteran dan ledakan tornado kemarahan dari kesemua makcik-makcik ku. Aku masih ingat bagaimana satu hari abang Isqal teruk di pukul oleh Mak Long hanya kerana memperturunkan aku skill membawa basikal@gerek. Namun kami semua bagai tidak pernah kenal erti serik… leteran dan sesekali di tibai bukanlah satu halangan untuk aku terus bersama dengan sepupu-sepupuku malah kami menjadi semakin akrab. Sesekali kami main rakit di sungai, menangkap ikan di tali air ataupun berada di atas pokok. Apa sahaja yang sepupu-sepupuku lakukan, aku tidak pernah tersingkir. Malah terasa bangga bila ke mana sahaja aku pergi, pasti ada yang jadi bodyguard.

“Hang dok melamun apa? Tu abang hang dah mai. Tau aje adik dia balik.” Abang Isqal sudah melabuhkan duduk di hadapanku. Pulut tanak yang masih berbaki sudah mula mendarat di dalam mulutnya. Tok Mak menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Kalau iya pun, cuba boh di piring.” Tegur Tok Mak bila melihat tingkah cucunya. Dia mula melangkah untuk ke dapur tapi ditahan oleh abang Isqal.

“Tak payah tok. Tu bekas adik pun Is buleih guna.” Kini piringku sudah bertukar posisi. Aku kembali tersengeh. Abang Isqal masih tak berubah.

“La, Kak Min tak masak di rumah ka? Pulun makan macam dah berkurun tak jumpa pulut tanak.” Tanyaku hairan melihatkan tingkahnya.

“Sapa kata Kak Min tak masak, dia dok buat nasi goreng. Abang dah makan pun tadi, tapi tah nampak pulut tanak cicah ikan masin dengan nyok, ada pulak tumis bilis dicampuq dengan muka kelat orang tak cukup tidoq buat abang rasa lapaq.” Ucapnya selamba. Aku sudah menarik muka masam mendengarkan usikannya itu.

“Ni abang mai pagi-pagi Kak Min tak hingaq ka? Sat ni ada pulak yang main aci ligan keliling kampung.” Giliranku membalas tembakan molton usikannya sebentar tadi. Mana mungkin aku sekadar menadah telinga dengan apa yang diperkatakan sebentar tadi.

“Apa salahnya sesekali main aci ligan. Bukan sekadar boleh mengeratkan kemesraan, tapi meningkatkan tahap kesihatan. Rasulullah pun pernah berkejar-kejaran dengan Syaiditina Aisyah kan… tapi waktu tu depa tak gunalah istilah JOGGING macam kita la ni.” Hujah ku dibidas dengan sesuatu yang cukup relevant membuatkan aku terdiam.

Tok Wan dan Tok Mak menghilang meninggalkan kami. Terdengar deruan motor menandakan Tok Wan sudah memulakan aktivitinya. Begitulah kehidupan mereka. Ada sahaja yang dilakukan sebagai pengisi hari.

“Abang tak reja ka hari ni?” Tanyaku menukar channel agar tidak terus terjerat dalam jala usikan yang bukan kepalang lebarnya. Masak sangat aku dengan tingkah abang sepupuku yang sorang ini.

“Dak. Sat ni kalau abang reja, sapa nak temankan adik abang yang sorang ni. Dah la balik macam bidan terjun. Awat ada yang nak beranak kat kampung ni ka?” Aduh! Mulut dia ni kan…masih lagi power seperti dulu. Aku kembali memasamkan muka membuatkan tawa abang Isqal berkumandang di ruang makan.

“Hangpa berdua jangan dok pakat nak buat reja tak tentu. Tok Mak ada nak gebang dengan adik.” Terdengar laungan Tok Mak dari luar. Aku dan abang Isqal sekadar tertawa kecil.

“Dengaq tu tok kata apa. So tak buleh lah nak pi mana. Erm adik cuti berapa hari?” Tanya anak muda. Pulut tanak sudah dua kali bertambah di piringnya.

“Mana ada cuti…. Hari Ahad balik semula ke KL. Isnin masuk kerja macam biasa.” Terangku.

“Patutlah Faizul habaq hang dok buat reja lok lak…Isy! Awatnya dik….. ada masalah ka?” Wajah ku kini dipanah dengan renungan menagih penjelasan.

“Abang ada hal ke hari ni?Kalau tak dak, apa kata abang dengan Kak Min ikut adik balik SP… Adik nak balik tidoq di rumah Taman Ria malam ni.” Jelasku sambil memesongkan pokok perbualan.

“Awat ni? Cuba cerita pada abang…Adik kelahi dengan along ka?” Soalnya lagi, tapi tersenyum bila aku menggelangkan kepala.

“Saja nak balik rumah sana, lagi pun dah lama tak balik. Hari tu masa raya pun tak balik gak. Tak tahu macamanalah rumah tu.” Aku berjeda memberi alasan.

“Rumah tu tetap macam rumah, tak ada yang berubah sebab arwah papa dan mama dah buat renovation yang secukupnya untuk keselesaan hangpa adik beradik. Erm tak pa lah. Sat ni abang tanya Kak Min, rasanya buleh kot tapi dah habaq kat Tok Mak dan Tok Wan ka?” Soalnya perlahan seakan berbisik.

“Belum. Sat ni lah adik habaq. Lagi pun memang nak bawak depa sama.” Terangku sambil bangun membawa cawan dan piring yang sudah digunakan.

“Okey, abang nak balik dulu. Nanti jumpa na. Tok, Is balik dulu. Tengahari ni Is mai makan nasi pulak… ” Ucapnya sambil tertawa.

Tenghari itu rumah Tok Mak bagai mengadakan kenduri. Bukan setakad Abang Isqal dan Kak Min yang bertandang, sebaliknya mak-mak saudara ku juga turut sama. Mak long, Mak Ngah dan Mak Ndak masing-masing berlenggang datang. Juadah tidaklah sehebat mana… ikan pekasam goreng, gulai daging, masak asam batang keladi, sayur goreng campur dan ikan sembilang bakar bercicahkan air asam. Untuk aku pulak, sudah cukup dengan adanya telur dadar dan kicap serta sup sayur campur. Tumis bilis yang Tok Mak buat pagi tadi pun masih ada lagi. Melihat abang Isqal meratah sembilang bakar membuatkan aku tersenyum.

“Bilalah hang ni nak makan ikan sungai. Cubalah rasa. Sedap.” Mak Long cuba memancing seleraku, tapi aku sekadar tersengeh.

“Kalau lagu ni la lauk yang hang makan, tak susah nak hidup hang dik oooiiiiii. Ada teluq, ada kicap, iduplah hang na. Mudah betui cucu mak hak sorang ni.” Bebel Mak Ndak bila melihatkan lauk yang ku jamah.

“Lama ka hang cuti?” Tanya Mak Long sambil menyuap nasi ke mulutnya. Sessi soal jawab sudah mula mengambil tempat.

“Dak. Adik kena balik esok.” Jawabku. Dalam hati aku sudah dapat menduga apa yang bakal ku dengar selepas ini. Dari riak wajah yang terpamir di hadapanku, bukan sukar untuk aku membuat satu rumusan dalam tafsiran yang sudah terbias.

“Awatlah hang ni… Tak letih ka dik Ooooiiiii. Baru ja sampai, esok dah nak pulun balik pulak. Cubalah dok hingga tok pi haji. Yang kalut nak balik tu awatnya. Boypriend hang tinggai ka?” Tersedak aku mendengar kata-kata Mak Ndak. Abang Isqal dan Kak Min sudah menyimpul senyum. Sure perli aku lah tu.

“Adik mana ada boypriend. Orang sakit macam adik ni tak dak yang nak ndak Mak Ndak. Buat susah nak jaga ja. Silap haribulan lebih banyak dok kat spital dari di rumah. Dia pulak yang kena jaga adik, bukannya adik jaga dia. Lebih malang, tak dan setahun kawin terus dapat title DUDA kematian isteri.” Selamba ayat itu meluncur di bibirku tanpa sedikitpun rasa bersalah atau tersalah. Walaupun aku tahu kini wajahku di panah oleh pandangan dari mata insan-insan yang ada di situ, tapi aku tetap berlagak bodoh. Terus menyuap nasi ke mulut seolah jawapan ku langsung tidak mendatangkan kesalahan dari segi akta, fakta dan struktur bahasa.

“Hang dah rajin pi hospital ka? Baguihlah dik. Berubat selagi buleh. La ni dah moden, orang melayu kita pun dah pi bulan. Banyak sakit yang dah ada ubat. Yang penting hang jangan putuih asa.” Nasihat Mak Long sambil merenung wajahku. Aku sekadar mampu tersenyum biarpun senyuman itu hanya aku yang tahu apa difinasinya.

Usai makan dan berehat sebentar, aku berbasikal merayau di sekitar kampung. Walau awalnya Tok Mak menegah, tapi melihat aku yang ketegaq, akhirnya dia terpaksa akur. Biarpun tak ada destinasi khusus yang terangka di dalam mindaku, tapi kaki ku tetap meneruskan kayuhan. Akhirnya dangau milik persendiriku jadi perhentian. Banjaran Gunung Jerai masih gah menyapa pandangan… sejak dari dulu, di sinilah aku menghilang tiapkali hati ditamu pilu… bila ingin menyendiri dan dihimpit emosi yang gagal ku tawan pasti aku akan ke sini. Aku lebih tega bersendirian biarpun kawasan ini sebenarnya agak bahaya justeru ianya jauh dari penglihatan orang. Justeru itu Tok Mak dan Tok Wan melarang aku dari kerap hadir ke sini. Bimbang akan keselamatan diriku.

Petang, aku bersama Tok Mak dan Tok Wan pulang ke Taman Ria. Pulang ke rumah peninggalan arwah Papa dan Mama. Syahdu dan pilu mula menghimpit hati sebaik sahaja kakiku melangkah masuk. Rumah itu masih tidak berubah. Segala sentuhan mama masih lagi kekal. Sesekali Mak Ndak dan Mak Teh akan datang untuk membersihkan apa yang patut dan tinggal di situ. Aku masuk ke bilik tidur milik papa dan mama. Bagai terlihat bayagan dan aura mereka di segenap penjuru dan malam itu aku karam sendiri bersama emosi yang sudah tidak bisa ku tahan lagi. Baju milik keduanya ku dakap erat seolah cuba menzahirkan sebuah pelukan dari mereka untuk diriku. Aku terjaga sewaktu terdengar sayup-sayup muazim melaungkan azan subuh dari masjid yang berhampiran. Dalam terpisat-pisat itu, aku terlihat Tok Mak yang terlena di tepi katil. Ah! Pastinya dia menemani ku semalaman. Hatiku kembali di pagut pilu. Sendu yang cuba ku tahan terdengar jua lantas menyedarkan Tok Mak. Pantas tubuhku diraih dan didakapnya erat.

“Tok… adik rindu sangat pada mama dan papa. Kenapa adik tak buleh ikut depa? Kenapa depa tinggai adik?” Rintihku bersama kristal jernih yang sudah berserakan di pipi. Makin erat dakapan Tok Mak pada tubuhku.

“ Adik kena ingat. Semua ini bukan kehendak kita. Bukan papa dan mama tak sayang adik, tapi kasih sayang allah pada depa lebih dari kita. Adik kena redho. Adik masih ada Tok Mak, Tok Wan, semua mak menakan adik, along, kak long, angah, tu abang-abang sepupu adik malah ramai lagi. Kami semua sayang sangat kat adik. Jangan fikir adik dah tak dak sapa, jangan nak siksa diri dan dok pendam semua dalam hati. Tok tak mau adik buat lagu tu. Along hang risau sangat lebih-lebih lagi bila dia nak pi ni. Dia tak senang perut nak tinggai hang.” Pujuk Tok Mak lembut. Pipi dan dahiku menerima kucupan kasihnya. Itulah kelebihan Tok Mak.

251107- Pagi itu aku menghilangkan diri. Langkah ini membawa aku hingga ke tanah perkuburan. Meski tiada pusara khusus yang perlu ku ziarahi, tapi entah mengapa kaki ini bagai terpaku pada sebuah pusara yang masih lagi baru. Aku terhenti di situ. Melabuhkan diri lantas menyedekahkan apa yang sepatutnya. Dalam pada itu, hati ku bermunajat agar apa yang ku lakukan itu turut sampai pada arwah Papa dan Mama. Lama juga aku bertafakur di situ. Melihatkan pusara kaku itu, hatiku jadi sayu. Anak-anak insan ini masih bertuah justeru masih punya tempat untuk melepaskan kerinduan yang sesekali bertamu, sedangkan aku… Ah! Pantas ku seka kristal agar tidak terus mencacatkan pipiku.

“Adik pi mana? Puas Tok cari.” Tanya Tok Mak sebaik sahaja aku melangkah masuk ke rumah. Aku sekadar tersenyum tanpa menjawab soalan yang diajukan. Aku tidak mahu mendifinasikan apa yang ada di fikiran Tok Mak kalau dia tahu ke mana destinasi aku sebentar tadi.

“Dah la tu. Tak payah nak soal budak tu banyak sangat. Mai kita makan. Sat ni nak balik pulak. Hingaq pula depa yang tunggu di rumah.” Tok Wan sudah bersuara. Aku dan Tok Mak mengatur langkah ke meja makan. Terlihat lepat liat di dalam piring.

“Bila tok buat?” Tanyaku. Tiba-tiba aku digamit memori lama. Lepat liat yang diperbuat dari tepung pulut yang dicampur gula melaka dan dibancuh dengan air. Kemudian diletakkan kepala parut bergaul sedikit garam sebagai inti ditengah sebelum di kukus adalah salah satu juadah hidangan mama yang memang menjadi kegemaranku. Teringat kak long pernah cuba membuatnya, tapi malang tidak menjadi. Kini hidangan itu berada di hadapan mataku. Aku teringat juga akan keteringinan ku pada ROTI CANAI yang masih belum kesampaian. Aku tahu andai aku suarakan kala itu, tentu Tok Wan tidak akan berlengah untuk memenuhinya, tapi entah kenapa aku sekadar berdiam diri.

“Awat yang hang renung je kuih tu. Makan lah. Tak payah nak ingat apa-apa. Dulu pun mama hang belajaq dari Tok Mak lagu mana nak buat kuih tak glamour ni. “ Usik Tok Wan sambil meletakkan sebiji kuih itu ke piring ku. Cawan yang sudah terisi koko suam turut disuakannya. Aku sekadar tersenyum.

“Patutnya adik yang layan Tok Mak dan Tok Wan, ni terbalik pulak.” Ucapku sambil menyuap kuih yang Tok Mak sedia. Memang sedap dan sama sepertimana yang pernah mama sediakan dulu.

Aku mengambil giliran mengemaskan segalanya. Tok Mak dan Tok Wan sudah ku arahkan untuk duduk bersantai di ruang tamu. Biarlah mereka berehat. Usai segalanya, kami kembali semula ke kampung. Makan tengahari sudah pun tersedia di samping ketupat palas dan bahulu bersama tumis bilis yang pastinya bukan hasil tangan dari mak-mak saudaraku. Tersengeh aku melihat kuih kegemaranku. Pantas bahulu yang sudah bercicah tumis bilis mendarat ke rongga perutku. Aduh! Sedapnya……

“Hari ni Mak Long masak daging masak kicap dengan sup tauhu untuk adik. Teluq dadar dan tumis udang pun ada.” Terang Mak Long. Aku tersenyum sambil memeluk tubuh mak saudara yang sudah ku anggap sebagai ibuku sendiri. Tengahari itu sekali lagi kami berkumpul untuk menikmati juadah makan tengahari bersama-sama. Seketika aku diulit kegembiraan dan terlupa akan kesedihan jua keperitan perasaan yang lewat kebelakangan ini kerap hadir dan pergi.

Petang itu, aku sempat mengadakan demo membuat kek carrot setelah didesak oleh Kak Min. Bahan-bahannya sudah disediakan oleh Abang Isqal cumanya dari menggunakan Walnut dia mengubah mengikut citarasanya sendiri. Badam dan chocolatechip di tambah guna ke dalam resepi itu. Sesuka hati aje mamat sorang ni, tapi cekap assistant aku tu menyediakan semua bahan asas yang aku perlukan.

Malam itu juga aku kembali semula ke KL. Walau ditegah dan dilarang, tapi disebabkan aku sudah menyimpul janji pada along, maka aku harus tunaikan. Lebih-lebih lagi aku juga sudah menyulam janji pada seseorang. Meski aku tahu janji ku tak mungkin akan ditagih oleh nya, tapi aku tetap tega untuk menunaikan. Tok Mak sekadar mengeluh disamping berjeda pesanannya. Aku sekadar tersenyum cuba menyakinkan bahawa aku tidak apa-apa. Aku tidak mahu Tok bimbang akan diriku. Dalam perjalanan sendirian itu, aku ditemani berbagai rasa yang datang. Aku juga mendengar suara ‘DIA’ didalam voicemail yang ditinggalkan sewaktu panggilannya tidak dapat ku jawab. Telefonku juga kerap berlagu. Samada ianya dari Tok Mak atau pun along, keduanya masih mengutarakan persoalan yang sama. Di mana destinasi aku…. Dan aku yakin andainya ‘DIA’ juga berkesempatan menghubungi aku, tentu soalan yang diajukan pada ku juga sama…. Ah! Aku masih lagi dalam kategori bertuah lantaran masih punya insan-insan yang menyayangi diriku… Terima Kasih Ya Allah atas anugerah ini…….

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home