Wellcome 2 GlasSlipper... So kind of you 2 stop by..

Letting go of someone dear to you is hard, but holding on someone who doesn't even feel the same is harder. Giving up doesn't mean you are weak… It only means that you are trying to be strong enough person to let it go...

Monday, November 26, 2007

Catatan Perjalanan.....

231107 11.00 malam…. Setelah berlansungnya debat perdana antara aku dengan siapa lagi kalau bukan along aku memulakan perjalanan. Itulah setelah berjela pesanan yang disumbatkan ke pendengaranku. Sepanjang perjalanan pulang ke kampung, aku ditemani oleh berbagai rasa. Lebih-lebih hari ini entah mengapa tiba-tiba perasaanku bagai dikuasai oleh sesuatu yang sukar untuk ku ungkapkan. Terlalu banyak rencah dan perisa dalam perasaan yang satu milik sekujur tubuh….. Awal pagi aku tiba-tiba kepingin untuk menikmati ROTI CANAI…. Kemudian mindaku membawa aku melintasi gerbang kenangan SEKOTAK SANGOBION… tak lama selepas itu, aku diacah keterasaan yang tidak sepatutnya berlaku bilamana aku seakan tidak mahu memahami akan situasi dan keadaan orang lain… petangnya pula perasaan ini menjadi lebih parah hingga aku menjadi sesensitif umat…… perbualan yang seharusnya berlangsung dalam suasana ceria dan ria bertukar corak bila jala usikan dan gurauan ditebar membuatkan hati dan perasaan terguris tanpa sebab yang relevant. Ah! Bukan aku tidak kenal sikapnya yang suka mengusik… tapi entahlah… kenapa Jumaat lalu aku bagaikan tidak mampu menerima semua itu. Apakah kerana sudah sekian lama aku ditinggalkan makanya perasaanku jadi sekalut itu…Apakah kebimbangan dan ketakutan masih lagi membayangi diri dan mindaku… Entahlah……

241107 – Hening pagi 04.30, belum sempat aku memberi salam, wajah Tok Mak dan Tok Wan sudah berada di muka pintu. Aku pasti tentu mereka menanti kehadiran ku setelah diberitakan oleh penyampai warta yang tak bertauliah. Siapa lagi kalau bukan my big brother. Rasa bersalah juga dalam hati justeru aku bagaikan mengganggu lena keduanya. Pagi itu aku bersarapan dengan Pulut tanak bercicahkan ikan masin, nyok dan juga tumis bilis. Wah! Sedapnya….. dah lama aku tak makan pulut tanak, lagi best bila makan dengan Tok Mak dan Tok Wan. Sambil tu kami bergebang-gebang dan sesekali Tok Mak dan Tok Wan melahirkan rasa risau dengan tingkah aku yang bagai tak terduga dan diduga. Contohnya macam yang aku buat ni lah. Aku just gelak sebab sebenarnya aku punya sebab tersendiri. Tok Mak dan Tok Wan sekadar diam. Tengahari, rumah Tok Mak riuh dengan kunjungan mak-mak saudara aku. Jiran kampung juga ada yang datang. Maklumlah tak lama lagi Tok Mak dan Tok Wan akan berangkat ke tanah suci. Juadah tengahari itu tak adalah yang special sanga. Tok Mak sediakan ikan pekasam goreng, gulai daging, masak asam batang keladi, sayur goreng campur dan ikan sembilang bakar bercicahkan air asam. Terliur jadinya, tapi aku tetap dengan menu wajib aku bila berhadapan dengan lauk sebegini. Telur dadar dan kicap…Menggeleng Mak Long dan Mak Ndak melihat pingganku. Usai makan, aku mula meninjau ke pokok pelam. “Jangan nak perati sangat. Sat ni hang tak duduk di tanah. Kalau nak buah tu, sat ni Tok suruh Tok Wan kait. Hang tunggu ja.”Aku tersengeh. Tok Mak macam tahu je apa yang ada kat fikiran aku… baru ingat nak tunjuk skill dah kena sound. Aku berbuai di buaian yang dibuat oleh arwah papa. Itulah tempat kegemaranku setiap waktu lapang. Kenangan lalu hadir di minda…. Terlalu banyak yang berhijrah ke dalam perasaanku…. Sesekali aku terpaksa menyeka kristal jernih yang berserak di pipi. Ah! Bila bersendiri, sayu perasaan seakan gagal ku bendung.

251107 – Aku masih berada di Taman Ria. Di rumah peninggalan arwah papa dan mama. Malam tadi aku tenggelam di kamar peraduan milik mereka. Bagai terlihat wajah dan aura ke duanya di segenap penjuru. Rindu yang merimbun bagai kembali mendakap hati dan emosiku. Krital jernih ini pecah lantas berserak di pipi. Aku teresak mendakap baju milik mereka. Pagi ini entah mengapa langkah kaki bagai membawa aku ke tanah perkuburan. Biarpun tiada pusara khusus yang perlu ku ziarahi, namun aku bagai rela membiarkan kaki ini menentukan arah. Langkah ku bagai terpaku pada satu pusara yang masih baru. Lama ku renung nesan yang ada. Tanpa sedar, aku bertafakur di situ. Menyedekahkan apa yang sepatutnya. Dalam hati aku bermunajat memohon agar allah turut menerima segala yang ku lakukan ini untuk ku hadiahkan pada papa dan mama. Melihat pusara di hadapan mata, membuatkan aku dipalu rasa sedih. Anak-anak yang kehilangan insan ini masih beruntung jika dibandingkan dengan diriku. Setidak-tidaknya bila mereka di gamit rindu, masih ada tempat untuk mereka kunjungi. Masih ada pusara untuk mereka ziarahi, tapi aku…… Krital jernih yang pecah ku seka sebelum meninggalkan tanah perkuburan itu untuk kembali semula ke rumah Tok Mak. Tak banyak aktiviti yang ku lakukan. Sampai di kampung, makanan tengahari sudah tersedia. Terlihat lauk kegemaranku yang biasa disediakan oleh mama di meja makan. Masak kicap daging dengan sup tauhu. Siapa yang menyediakan, tidak pulak aku bertanya. Di samping itu ada juga ketupat palas dan bahulu bersama tumis bilis. “ Tok Alang antaq tadi. Semalam dia mai, tapi adik tak dak.” Terang Mak Long seakan menjawab pertanyaaanku. Pantas sebiji bahulu yang telah siap bercicah tumis bilis mendapat ke ronggo perutku. Sedapnya. Mak Long dan Mak Ngah sekadar menggelengkan kepala. Masih hairan dengan tabiat permakanan kuih ku yang satu ini. Petang aku luangkan waktu untuk menyediakan apa yang Kak Min hayatkan memandang bahan-bahan sudah tersedia. Kek Carrot. Beriya Kak Min meminta aku mengajarnya sebab itu adalah salah satu makanan kegemaran suaminya. “Are you expecting any called from somebody? Telefon ni asyik menyanyi je dari semalam.” Tiba-tiba abang Isqal mengajukan pertanyaan sambil menghulurkan telefonku yang kebetulan tertinggal sewaktu aku sibuk untuk pulang ke Taman Ria semalam. Aku sekadar mengunci bicara, menerima apa yang dihulurkan. Betul… banyak miscall dan terdapat message di dalam inboxku, tak ketinggalan juga voicemail. Dari nombor yang tertera, sudah dapat ku duga siapa gerangan peninggal voicemail tersebut. Teragak-agak juga untuk aku mendengarnya lebih-lebih lagi bila mata Abang Isqal masih betah memanah wajahku. Akhirnya aku biarkan sahaja.

Pukul 10.00 malam aku sudah bersedia untuk memulakan perjalanan pulang walaupun aku tahu Tok Mak dan Tok Wan seakan keberatan. Aku sedar dalam hati mereka sarat dengan kebimbangan. “Tak payah balik lah dik. Dah malam. Kalau hang nak balik gak, balik ja esok. Tak kan boss hang tak buleh nak bagi hang cuti.” Mak Long cuba memujuk. Sayu juga hati ini bila memandang wajah mereka semua. Namun apa daya ku. “Adik kena balik gak Mak Long. Esok adik kena pi reja. Along nak pi kursus esok.” Ucapku perlahan. “ Yang nak pi kursus tu along, bukannya hang. Awat hang pulak yang kalut kena balik juga malam ni.” Mak Long masih tidak berpuashati. “ Adik dah janji dengan along nak balik malam ni. Selain dari along, adik juga dah janji dengan seseorang. Lagi pun ni kek ni kena gak bagi kat along. Sat ni cicit Tok Mak tu hingaq. Jangan lah risau. InsyaAllah tak ada apa-apa. Nanti dah sampai adik telefon.” Aku bersalaman dengan semuanya. Aku lihat Tok Mak menyeka kristal jernih yang sudah mula berderai di pipi tuanya. Tubuhku di dakapnya kemas. “ Jaga diri hang baik-baik…Ingat, semua orang sayang sangat kat hang. Jangan buat along, kak long dan angah susahati.” Terdengar bisikan Tok Mak di telingaku. Dahi dan pipiku menerima kucupan kasihnya. Aku mempercepatkan langkah menuju ke kereta. Makin lama aku di situ, aku bimbang andai keputusanku akan terubah dan berubah. Sepanjang perjalanan pulang dari Yan ke KL aku ditemani oleh serakan kristal jernih di pipi bilamana voicemail yang tidak ku dengar tadi, kini bergema di pendengaran. Tiada apa yang mampu ku ucapkan setelah mendengar suara dan bicaranya. Sesekali telefon ku akan berlagu. Samada panggilan dari Tok Mak atau along. Bertanyakan lokasi di mana aku berada. Ah! Aku semakin menyedari bahawa kasih sayang terhadap diri ini sememangnya tak pernah luak atau berubah sejak dulu, kini dan akan terus begitu untuk selamanya…. Tok Mak, Tok Wan, Along dan semua saudara maraku, sesungguhnya aku amat sayang dan kasih pada kalian…. Terima kasih atas segalanya……. Buat ‘DIA’, maaf kerana aku tak dapat nak jawab panggilan yang dibuatnya. Aku tahu dalam apa jua situasi ‘DIA’ sentiasa akan cuba mencari ruang waktu untuk bertanyakan khabar akan diriku. Sesungguhnya aku menghargai semua itu, cuma mungkin kelalaian aku membuatkan segalanya tidak kesampaian sedangkan aku memang ingin sangat berkomunikasi dengannya…… Maafkan aku……

261107 - Pagi ini seawal 07.00 pagi aku sudah tiba di office. Perasaan ku diulit satu rasa yang sukar untuk ku zahirkan pada pengucapan..... Apa pun aku sekadar berdoa moga hari ini akan menjadi permulaan pada sesuatu yang lebih baik dari yang telah aku lalui biarpun entah mengapa debaran di dada tiba-tiba terasa.... Moga tiada musibah atau berita kurang enak yang bakal ku terima sepangjang hari ini dan hari-hari yang seterusnya InsyaAllah........

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home